Monday, January 5, 2009

Hadith 1 ( Imam Nawawi)




Terjemahan:

“Dari Amir al-Mu’minin Abu Hafs Umar Ibn Khattab radiallahu ‘anh, katanya: Aku dengar Rasulullah SAW bersabda: Hanya segala amal dengan niat dan hanya bagi tiap-tiap seorang apa yang ia niatkan. Maka, barangsiapa hijrahnya kepada Allah dan rasulnya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Dan barangsiapa hijrahnya bagi dunia yang ia akan memperolehinya atau perempuan yang ia ingin mengahwininya, maka hijrahnya kepada apa yang ia berhijrah kepadanya.”
Diriwayatkan hadith ini oleh dua orang Imam hadith iaitu Abu Abdullah Muhammad Ibn Ismail Ibn Ibrahim Ibn Al-Mughirah Ibn Bardizbah’ al-Bukhari dan Abu Al-Husasain Muslim Ibn al-Hajjaj Ibn Muslim al-Qussyairi al-Naisaburi dalam kitab sahih keduanya, iaitu kitab yang amat sahih di antara segala kitab yang pernah disusunkan.



Dalam hadith ini, terdapat dua perkara pokok yang dibincangkan. Hadith yang pertama dalam susunan hadith 40 oleh Imam An-Nawawi ini adalah mempunyai martabat dan nilaian yang tinggi dalam jurusan hukum islam kerana banyak di antara hukum itu didasarkan kepadanya.

Imam Syafi’I dan Imam-Imam yang lain berpendapat bahawa hadith ini adalah sepertiga Islam kerana perbuatan seseorang ada dengan hatinya, lidahnya atau dengan anggotanya. Manakala niat itu adalah salah satu yang tiga itu. Dan yang dua pertiga lagi ada pada dua hadith di bawah, yang terjemahannya adalh:


Pertama:
‘ Sesungguhnya yang halal itu nyata, dan yang haram itu pun nyata”

Kedua:
“ Daripada keelokan Islam seseorang adalah meninggalkan apa yang tidak
berguna kepadanya”

Dua perkara Pokok yang dibincangkan dalam hadith ini adalah mengenai Kepentingan Niat dan yang kedua adalah mengenai Hijjrah. Dalam usrah, hadith ini amatlah penting di bincangkan dan disampaikan kepada mad’u kita. Kerana hadith ini adalah titik tolak pemahaman mereka untuk mereka memahami tentang kemana arah perubahan mereka setelah mengikuti usrah dan kepada siapa serta kerana apa mereka ingin berubah. Di samping itu juga, hadith ini penting untuk meluruskan niat kita bahawa segala amalan hendaklah diniatkan dan disandarkan hanya kepada Allah SWT. Perkara ini amatlah penting, kerana segala amalan yang tidak di sandarkan dan diniatkan kerana Allah SWT akan tertolak dan tidak mendapat pahala di sisi Allah SWT. Di sini, ana tidak berniat untuk membicarakan sepenuhnya isi kandungan dan syarah Hadith ini, perkara ini boleh di rujuk kepada buku yang di tulis khas untuk mensyarahkan hadith ini ( HADITH 40, TERJEMAHAN DAN SYARAHNYA oleh Mustafa ‘Abdul Rahman).

Dalam kesempatan ini, ana hanya ingin berkongsi beberapa point penting sahaja daripada intipati Hadith ini utnuk memudahkan kita sendiri mengigat tentang apa isi yang ingin di sampaikan oleh Rasullulah SAW melalui hadith ini untuk kita beramal dan seterusnya menyampaikan kepada mad’u kita. Daripada perkara pokok pertama iaitu NIAT, perkara yang harus kita fahami, niat adalah sebab pertama untuk mewujudkan atau melahirkan amal. Diterimanya amal itu atau tidak adalah kerana niat. Amat besar peranan niat itu. Perkara lain yang boleh dibincangkan dari peranan niat ini adalah:

1. Apakah pengertian niat itu?. Kebanyakan orang atau mad’u kita tidak mamahami maksud niat ini sehingga menyusahkan mereka untuk melakukan ibadah seperti solat, megambil wudud dan lain lain lagi. Perkara ini penting untuk di jelaskan.
2. Menjelaskan tentang bagaimana hendak mendapatkan niat yang ikhlas kerana Allah SWT.
3. Memberikan sebab-sebab amal tidak ikhlas dan apakah akibatnya.
4. Apakah Hasilnya daripada keihlasan hati kita.
5. Apakah perkara atau tanda-tanda ikhlas, kerana amal yang hendak dikerjakan ada dua macam, amal yang ikhlas dan amal yang tidak ikhlas, tetapi kedua-dua bahagian amal ini pada zahirnya kelihatan sama keadaannya. Tetapi pada batinnya terdapat perbezaan oleh berlainan niat dan qasadnya.

Perkara pokok yang kedua yang dibincangkan adalah tentang HIJRAH, Pada pengertian bahasa, Hijrah bermaksud semata-mata meninggalkan. Dan pengertiannya mengikut istilah yang di kerhendaki oleh hadith tersebut adalah meninggalkan negeri Makkah lalu berpindah ke Madinah untuk kepentingan Agama. Adapun pada pengertian yang umum dan berlaku pada setiap zaman adalah berhijrah daripada melakukan larangan Allah SWT kepada melaksanakan segala perintah Allah SWT. Dalam melakukan perubahan samada kepada diri kita ataupun kepada diri Mad’u, kita perlu memahami bahawa perubahan yang akan di lakukan adalah kepada pembaikan daripada sebelumnya iaitu pada zaman jahilliah dan melakukan larangan Allah SWT kepada islam dan melakukan segala suruhan Allah SWT. Perkara lain yang boleh dibincangkan daripada Hijjrah ini adalah:

1. Kepada apa Hijjrah yang dilakukan dan kerana apa?
2. Menyatakan cara-cara untuk melakukan perubahan itu, kerana ramai orang ingin melakukan perubahan, tetapi tidak mengatahui cara untuk berubah. Kita juga boleh menyatakan bahawa cara untuk melakukan perubahan ini adalah dengan mengikut usrah.
3. Apakah Halangan dan cabaran yang akan di hadapi untuk melakukan perubahan ini. Ini kerana terlalu banyak halangan yang terpaksa di hadapi untuk melakukan perubahan ini. Untuk membolehkan benih yang di tanam untuk tumbuh dengan baik, maka. Segala halangan yang boleh membantutkan (Penghalang) pertumbuhan (Perubahan) itu handaklah dibuang terlebih dahulu.



Daripada perbincangan hadith ini di dalam usrah kita, kita berharap untuk memberikan pemahaman yang jelas terhadap perubahan yang akan dilakukan oleh kita dan juga mad’u kita dan agar lebih jelas kepada siapa kita beramal dan menjadikan segala amalan yang akan dan telah dilakukan hanya kepada Allah dan inigin mencapai redhaNya. Wallahu A’lam.

No comments: